Tuesday 5 February 2013

[AKU DAN DIA] cerpu (Cerita Merapu) PART23

Assalamualaikum 
dan salam sejahtera . . . 
Entry yang ketiga hari neh . . .
Dan I don't have any idea to merapu again . . . 
Jom sambung cerita dulu lah . . . 
Untuk jalan cerita sebelum neh, si Junaidi terkejut sebab dia di bawa untuk bersemuka dengan bakal isterinya . .  Dia terpana apabila melihat gadis yang dimaksudkan mamanya itu sebenarnya adik kepada kawan baiknya . . . So, apa reaksi mereka bila mereka bakal disatukan? Jom baca ! 

***********
MATA Junaidi tidak lepas memandang wajah bersih seorang gadis yang bertudung merah hati, memakai blaus putih mutiara dihiasi bunga-bunga kecil berwarna sedondon dengan tudungnya. Pandai si gadis bergaya. Si gadis tertunduk apabila direnung sepasang mata milik Junaidi.

            “Junaidi, kenalkan Maisarah. Anak mak cik yang bongsu. Sebelum ni pun memang Maisarah jarang berada di rumah sini sebabnya dia dengan Mia Azlina tinggal dengan mak cik dan pak cik masa pak cik ditugaskan di Hospital Kuala Lumpur dulu.” Gadis yang bermata bulat itu menundukkan wajahnya.

            ‘Patutlah aku tak pernah tengok. Yang si Alif pun satu. Bukan nak bagitahu aku yang dia ni ada adik perempuan lagi sorang. Mati-mati aku ingat yang makan dengan dia hari tu girlfriend dia. Sekali tekaan aku salah pulak.’

            Alif Farhan tidak malu mempamerkan aksi romantisnya bersama isteri kesayangannya. Dia juga seakan tidak percaya yang sahabatnya itu bakal dijodohkan dengan Maisarah adiknya.

            “Mai, ambillah lauk tu bagi dekat Junaidi.” ujar Puan Munirah lagi. Puan Munirah dapat mengesan perubahan riak Maisarah yang selamba kepada malu-malu kucing apabila berdepan dengan Junaidi.

            Dalam hati Maisarah mengutuk dirinya kerana tidak mengecam bahawa Junaidi yang dipromosikan mama dan abahnya itu merupakan sahabat abangnya sendiri. Kecil sungguh dunia ini. Memang Maisarah pernah terserempak Junaidi dengan abang Alifnya beberapa kali. Itupun, dia mula mengenali Junaidi sebetulnya pada hari perkahwinan abangnya beberapa bulan yang lalu.

            ‘Lelaki inilah yang jadi pengapit abang aku dulu. Yang baju dia basah ‘disiram’ aku dengan air sirap. Huh! Malunya aku. Kenapa aku tidak perasan dari awal-awal tadi.’

            Beberapa kali Junaidi dan Maisarah membalas pandang. Sejenak mata mereka bertaut. Ada rasa aneh yang menyerbu jiwa kedua-duanya.

            Junaidi ingin segera menghabiskan makanannya. Dia sudah tidak betah di situ. Dia bagai cacing kepanasan di meja makan itu. Maisarah juga begitu. Nasi yang ditelannya terasa bagaikan pepasir.

            “Junaidi, tambahlah lagi nasi tu. Penat mak cik masak.” Mahu menjaga hati tuan rumah, digagahkan diri menambah sedikit.

JUNAIDI baru mengetahui bahawa mama Alif Farhan sebenarnya merupakan teman baik ibunya semasa di bangku sekolah. Mereka terputus hubungan apabila ibunya terpaksa berpindah ke Kelantan mengikut arwah datuknya yang berkhidmat sebagai tentera ketika itu.

            Ini merupakan pertemuan semula ibunya dengan Puan Munirah. Sahabat yang terputus hubungan hampir puluhan tahun lamanya. Pertemuan ini membuktikan bahawa betapa kecilnya tanah Pulau Pinang ini. Sedang ibunya ralit bertukar cerita, Junaidi yang disisi sudah tidak senang duduk. Fikirannya masih terbayang bagaimana kiranya dia dan adik sahabatnya sendiri bersatu di alam rumah tangga. Mampukah dia memberi cinta sepenuh hatinya untuk seorang gadis yang ‘baru’ dikenalinya.

            Barulah dia tahu ‘Mahirah’ yang dilagukan ibunya itu sebenarnya Maisarah. Cuma ibunya tersalah memanggil Maisarah dengan nama Mahirah. Dia berbulat hati membiarkan ibunya sahaja yang memutuskan apa yang terbaik untuknya. Dia akur. Dia pasrah. Dia redha.

            Hanif dan Alif masih rancak berbual. Junaidi malas mahu masuk campur. Biarkan mereka bersembang puas-puas. Sesekali terdengar gelak tawa. Junaidi masih giat memikirkan tentang masa depannya yang cerah atau gelap sekiranya dia menerima Maisarah dalam hidupnya.

“KAKAK, Mai tak rasa Mai boleh terima dia dalam hidup Mai kak. Dia pun nampak macam tak suka kat Mai.”

            “Adik, tak kenal maka tak cinta. Kalau memang sudah takdir Abang Eddy tu jodoh adik, adik larilah keliling dunia sekalipun tetapi adik tetap akan kembali pada dia jugak.” Hamimah cuba memberi nasihat kepada adik iparnya.

            Tambahan pula, sejak Hamimah mendaftarkan diri dalam keluarga Encik Radhiff, Maisarah punya tempat untuk meluahkan perasaan. Bukan dia tidak boleh bercerita kepada kakaknya yang berdua itu. Tapi, maklum sahajalah, Mia Amira kini sudah jarang pulang ke rumah itu sejak suaminya Hazwan ditugaskan untuk menguruskan perniagaan keluarganya di Negeri Sembilan. Mia Azlina pula memang dari dahulu lagi jarang bertandang. Kakaknya yang seorang itu hanya akan pulang sekiranya mereka mengadakan perjumpaan keluarga atau ada agenda-agenda penting sahaja. Lagipun, sejak dia disahkan berbadan dua sekarang, Firdaus sudah tidak membenarkan isterinya itu memandu lagi. Jadi, hanya Hamimah dan Alif tempat dia mengadu dan bermanja.

            “Mai, tak cemburu ke tengok abang dengan kakak-kakak Mai ada keluarga sendiri. Takkan Mai tak teringin nak jadi macam diorang?”

            “Alah. Memang la nak rasa nikmat ada keluarga sendiri. Tapi, kenapa mesti dia kak? Tak de orang lain ke akak?” Maisarah mengeluh entah untuk ke berapa kali.

            “Lagipun, kalau dah kahwin mana boleh guna prinsip cuba, try, test. Ataupun teori eksperimen, kalau rasa sesuai go on. Lepas tu kalau rasa tak sesuai lepaskan saja.”

            Hamimah hanya diam memikirkan masalah Maisarah ini. Dia tidak pernah melalui situasi begini. Dia dan Alif bersama atas dasar cinta dan kasih sayang yang wujud dalam hati masing-masing.

            “Mai tak nak cuba risik-risik dari abang Alif ke. Cuba tanya abang Alif, Abang Eddy tu macam mana. Abang Alif mesti tahu sebab diorang kan BFF a.k.a bakal saudara ipar.” sempat Hamimah menyakat Maisarah. Cekap Hamimah membancuh air untuk dihidangkan kepada tiga sekawan yang rancak berbual di laman hadapan.

            “Ok. Now is the time. Mai pergi hantar air ni kat tiga orang sahabat tu. Sambil tu curi-curi pandanglah Abang Eddy tu sikit. Mana nak tahu boleh terusik ke hati Mai tu.” ujar Hamimah sambil menyuakan dulang berisi seteko air nescafe dan 3 biji cawan yang tersusun rapi.

            “Suka kan akak boleh kenakan Mai. Sikit pun Mai tak teringin nak pandang dia yang bajet bagus sangat tu.” Maisarah mencapai dulang yang diberikan Hamimah tadi seraya berlalu ke laman tempat Alif Farhan, Junaidi dan Hanif berbual.

            Dengan penuh berhati-hati Maisarah melangkah ke ruang itu dan meletakkan dulang tersebut betul-betul berhadapan Junaidi. Junaidi yang sedang melayan perasaan tersentap seketika tatkala terpandangkan Maisarah. ‘Aku jatuh cinta pandang keberapa dah ya?’

            Setelah mempersilakan mereka bertiga minum, Maisarah berlalu ke dapur. Dia sedar mata Junaidi ralit meratah seluruh wajahnya. ‘Dah kenapa tengok-tengok orang macam nak makan? Huh!’ Seingatnya semasa berjumpa lelaki itu buat pertama kali juga begitulah pandangan mata Junaidi terhadapnya. Dia rimas. Dahulu dia rimas dengan Zarif yang sentiasa memerhati tingkahnya terutama semasa di pejabat. Kini, dia mula rimas dengan pandangan mata Junaidi itu. 

**************
Aku rasa aku boleh update sampai sini saja kot . . .
Nanti bila-bila aku free nanti aku update lagi part 24 . . . 
Hope korang boleh r tunggu aku free sikit . . . 
Okeng . . . macam tu r kawan aku . . . 
Hahaha . . . 
See ya in the next entry . . . 
Adiosssa!